NEGARA DAN AMANAH UGAMA, Oleh: Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), BN di ambang keruntuhan

NEGARA DAN AMANAH UGAMA
Oleh: Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
BN di ambang keruntuhan. Kerosakan dalamannya adalah sebab utama. Kerosakannya bermula daripada kegagalan berterusannya melaksanakan tugas memerintah negara dengan penuh amanah. Kini negara dalam krisis keyakinan yang teruk.
Rakyat semakin hilang kepercayaan. Ia semakin hari semakin nyata apabila usaha-usaha BN untuk mengembalikan keyakinan rakyat terus dibayangi deretan skandal dan pengkhianatan terhadap amanah yang memalukan negara.
Jasa BN memajukan negara diruntuhkan oleh BN sendiri. Rakyat yang dulunya berterima kasih kini mula menarik tangan salam tahniah dan terima kasihnya. Bahkan ucapan terima kasih kini ibarat membantu BN untuk terus rakus membolot kekayaan negara untuk kepentingan diri dan terus membiarkan rakyat dalam ketakutan dan ancaman masa depan yang gelap.
PAS adalah parti tertua yang sentiasa mengingatkan rakyat akan bahayanya BN memerintah. Matlamatnya salah, caranya salah dan persembahannya gagal. Sehingga kini PAS terus mengingatkan rakyat dan menegur BN di atas kesalahan dan kegagalan mereka.
Daripada sebuah parti yang bersendirian mengingatkan rakyat teramai, PAS kini bersama parti-parti pembangkang lain terus konsisten bergerak mengajak rakyat melakukan perubahan. Perubahan untuk survival Malaysia.
Siapa pun tahu wawasan 2020 akan gagal. Ia akan lebih gagal berbanding kegagalan Dasar Ekonomi Baru. Keyakinan yang cuba ditanam dan dipupuk oleh BN hanyalah omongan kosong. Tanyalah ahli dan pemimpin BN sendiri, benarkah 5 tahun lagi, negara kita adalah sebuah negara maju?
Rakyat semakin susah. Isu-isu ekonomi, kewangan, politik, sosial, pendidikan, kesihatan, alam sekitar, keselamatan diri, keamanan negara, ugama dan masa depan anak muda negara semakin menjerut dan menjerat.
Nilai matawang jatuh teruk. Harga barangan asas terus naik. Inflasi semakin meninggi. Hasil negara dipam dengan percukaian zalim. Pengangguran menjadi ijazah kedua para siswazah dan anak muda. Jurang kekayaan antara dua darjat semakin melebar. Kemiskinan melata. Kekayaan bertompok. Jenayah merebak dalam pelbagai sektor. Gejala sosial semakin parah. Anak kehilangan kasih sayang. Ibu bapa kehilangan hormat. Sistem kekeluargaan semakin runtuh. Kehidupan sosial kehilangan arah manakala pegangan ugama semakin hilang sentuhan dan bisa dalam kehidupan.
Soalan di kepala rakyat adalah apakah yang BN sedang lakukan untuk menyelesaikan isu-isu yang bertimbunan ini? Jawaban yang ada di sisi mereka adalah BN hanya membiarkan isu-isu itu bertambah-tambah tanpa jawaban penyelesaian yang benar dan tepat. Malahan, lebih tepat di sisi rakyat, BN sendiri adalah isu, krisis dan bebanan utama negara.
PAS mengingatkan rakyat asas kebangunan dan keruntuhan negara. Negara kebendaan akan runtuh. Negara akhlak akan kekal membangun. Akhlak negara mestilah bersumber daripada ugama Islam yang benar. Islam menyempurnakan akhlak mulia. Ia mara tanpa berhenti apatah berundur. Itulah maksud qudwah yang baik dan akhlak tertinggi canangan al Rasul, pemimpin negara madani dan akhlak.
Malaysia adalah negara majoriti umat Islam. Justeru ia mesti menerima Islam sebagai cara hidup dan bernegara. Ia kewajiban yang tertulis di sisi ugama. Ia amanah yang mesti diperjuangkan.
PAS, selain mengingatkan rakyat bahayanya BN mengurus negara, turut menyeru rakyat kepada penyelesaian yang benar dan tepat. Jika jaminan kejayaan anak-anak adalah dengan ugama, begitulah jaminan kejayaan negara adalah juga dengan ugama.
Perjuangan adalah sengit. Rakyat mahukan BN berundur atau diundurkan. Tiada masa depan lagi di sisi rakyat buat BN kecuali dengan kehadiran mukjizat. Malang, mukjizat sendiri memusuhi BN.
Rakyat mahukan kekosongan diisi. PAS konsisten mengingatkan kewajiban kembali kepada ugama Islam yang sederhana dan aman. Ia amanah yang dipikul oleh PAS. Jika anda bertanya, mengapa PAS begitu sengit hari ini? Jawabannya, alangkah beratnya memikul amanah ugama.
PAS akan terus istiqamah memikul amanah ugama dan kerasulan untuk masa depan negara yang maju dan cemerlang.

PERGADUHAN LOW YAT: BUKTI KITA PERLU KEPADA UNDANG-UNDANG ISLAM

PERGADUHAN LOW YAT: BUKTI KITA PERLU KEPADA UNDANG-UNDANG ISLAM. FAHAMI SENARIO DAN FAHAMI UNDANG-UNDANG ISLAM.
Oleh: Zaharudin Muhammad.
Apabila saya membaca berita pergaduhan di Plaza Low Yat, saya teringat dua kes yang saya dan seorang kenalan saya alami. Dalam kes saya sekitar enam tujuh tahun lepas, saya pernah membeli housing handphone atau tab yang harga pasaran bagi original RM200. Kalau yang AP harganya sekitar RM120. Tiba-tiba satu kedai menawarkan yang original hanya dengan harga RM180. Oleh kerana murah RM20 berbanding kedai lain, saya terus beli. Sewaktu keluar, saya jumpa dengan seorang kenalan yang agak mahir berkenaan perkakasan handhpone. Dia bagitahu yang saya beli bukan original, tapi AP. Dia tunjukkan tanda-tanda AP dan saya pergi ke kedai lain untuk mengenal pasti tanda-tanda original dan AP.
Selepas dapat informasi tentang tanda-tanda original dan AP, saya patah balik ke kedai asal untuk protes penipuan dia. Saya tak kisah yang RM60, tetapi saya geram sebab kena tipu. Masa saya pergi balik jumpa penjual yang juga tauke kedai, dia berkeras menyatakan yang dia bagi itu memang AP dan dia dah cakap dari awal. Saya kata, kalau yang AP kenapa harga sampai RM180, sepatutnya RM120. Dia cakap, itu awak punya pasal lah, sebab awak dah setuju. Padahal tadi dia kata confirm original dan saya pastikan dua tiga kali masa saya nak beli.
Selepas agak kecoh, tauke kedai tu akhirnya panggil guard untuk hindarkan saya dari kedai. Memang samseng betul tauke tu. Kalau ikutkan hati, tengok dia tipu kita dan berlagak samseng dengan halau kita dari kedai dia dengan suara tinggi, rasa mahu pecahkan saja kedai tu atau bertumbuk sahaja dengan tuannya. Tapi ingat nanti jadi kes gaduh, tak mustahil kita pula yang salah dituduh menyerang dalam keadaan saksi sekeliling mungkin kawan-kawan dia. Pelanggan kedai lain rasanya mustahil nak tampil jadi saksi bagi pihak kita. Kawan yang saya jumpa tadi pun dah entah ke mana.
Bila fikir panjang; kalau bertumbuk, polis akan datang, semua kena pergi balai bagi keterangan. Kalau saya bagi keterangan bahawa saya kena tipu, nanti polis kata: ‘encik jangan bertindak sendiri, buat report dulu, serahkan kepada polis, ini kerja polis dan bla bla bla….” Macam biasalah, semua kena serah ke polis menurut pemikiran idealnya. Kalau buat report polis, kena tipu RM60 (RM180-RM120) agak-agak polis nak layan tak? Jangan bohong lah, kawan saya kena tipu RM120,000 polis tak layan, setakat ambik report sahaja. Inikan RM60. Jadi, bila fikirkan undang-undang mahupun suasana tidak menyebelahi saya, pendam sahajalah perasaan geram tu.
Lagi satu kes ialah melibatkan seorang kenalan saya, warga Saudi tinggal di Malaysia. Beliau telah membeli ladtop dari satu kedai di satu Plaza di kawasan Gombak. Kes yang sama, tuan kedai tipu spesifikasi ladtop tersebut. Beliau hanya menyedari bahawa beliau ditipu selepas pulang ke kondo miliknya. Keesokan hari beliau kembali ke kedai tersebut dan protes atas penipuan spesifikasi tersebut dan penjual menafikannya. Sebagaimana culture orang arab, mereka payah mengalah dan akhirnya berlaku pergaduhan. Dalam pergaduhan itu, beliau telah diwar-warkan oleh penjual bahawa pergaduhan itu sebab pak arab tu mencuri di kedai dia. Kenalan Arab ini pula langsung tidak boleh bertutur melayu dan hanya English yang sangat broken (lemah). Oleh kerana masalah komunikasi tersebut, dia tidak mampu menerangkan kepada orang ramai apa isu sebenar. Akibatnya, beliau dipukul teruk sehingga lari lintang pukang selamatkan diri. Beliau dipukul dari kedai di tingkat 1 sehingga ke pintu keluar mall. Sehingga akhirpun, beliau tidak mendapat apa-apa pembelaan melainkan lapor di kedutaan dan buat laporan polis. Tapi ladtopnya yang dah pecah dan wangnya langsung tiada pembelaan.
Kes di Low Yat dua hari lepas mengingatkan saya tentang 2 kes di atas. Sama ada pergaduhan dua hari lepas adalah disebabkan oleh pelanggan mencuri sebagai dakwaan sesetengah media atau sememangnya dia adalah mangsa tipu atau dia adalah mangsa tipu tetapi difitnah oleh tuan kedai bahawa beliau mencuri, itu hanya Allah yang tahu dan bukan isu yang saya nak timbulkan dalam tulisan ini. Apapun realiti, saya yakin polis tidak akan mengumumkan apa sebab sebenar dengan alasan nak elakkan sentimen dan sebagainya.
Berbalik kepada poin asal, kenapa kes ini timbul dan bagaimana Islam selesaikan?
Kes seperti ini timbul, sebagaimana pengalaman saya sendiri, disebabkan kita sebagai mangsa tipu tiada tempat untuk mengadu. Nak pergi mengadu di balai polis, confirm polis hanya terima laporan dan tiada tindakan dibuat, kecuali kalau polis tu abang kita, sepupu kita atau ayah kita. Kawan saya yang kena tipu RM120,000 pun tak ada apa-apa tindakan polis sekalipun laporan dah dibuat. Jadi, abaikan sahaja laporan polis.
Ada seorang sahabat sarankan supaya saya pergi buat aduan online ke E-Aduan Kementerian Perdagangan dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) atau Biro Pengaduan Awam (BPA). Ada juga sarankan supaya pergi adu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan macam-macamlah idea-idea khayal yang tidak realistik. Tidak realistik kerana kita hanya nak tuntut RM60, tapi nak kena turun naik dan ke hulu ke hilir selepas itu, confirm tak berbaloi dengan RM60 yang kita protes.
Dengan kata lain, antara pilihan yang anda ada:
1. sama ada anda jadi samseng dan bertumbuk dengan tuan kedai,
2. atau anda perlu ambil cuti untuk turun naik pejabat-pejabat yang dinyatakan justeru kejadian ini pada waktu petang selepas waktu pejabat. Pasti selepas itu anda dinasihatkan oleh pegawai aduan awam untuk buat report polis untuk tindakan selanjutnya. Satu hal pulak anda kena bergegas ke balai polis untuk melihat pegawai polis taip dengan 1 jari untuk report anda,
3. atau lupakan sahaja dan banyakkan bersabar serta ingat akan dapat balik pada hari akhirat.
Saya telah ambil pilihan ke 3 justeru saya bukan jenis samseng untuk buat pilihan pertama dan saya tiada masa yang banyak untuk habiskan waktu-waktu saya turun ke hulu ke hilir untuk RM60.
Apa penyelesaian dari segi Islam? Anda biasa dengar Hudud, Qisas dan Takzir, tetapi anda mungkin jarang dengar apa itu Hisbah. Kes penipuan kecil ini bukan kategori Hudud, bukan Qisas dan bukan Takzir. Kes seperti ini dikenali sebagai kes Hisbah, iaitu undang-undang dan peraturan yang melibatkan jumlah wang yang kecil (biasanya di bawah nisab mencuri) dan juga penipuan di pasar-pasar.
Pegawai yang bertugas dikenali sebagai Muhtasib dan orang yang pertama yang bertugas sebagai Muhtasib adalah nabi saw sendiri sewaktu permulaan pentadbiran di Madinah. Nabi saw ronda pasar Madinah, melihat penjual kurma yang letakkan kurma yang elok di atas dan yang buruk di bawah. Nabi bukan sahaja menegur bahkan menegah transaksi seperti ini berlaku di pasar. Di zaman selepas itu, pegawai-pegawai Muhtasib di letakkan di pasar-pasar atau lokasi-lokasi perniagaan bagi memantau supaya tiada berlaku penipuan dan supaya mangsa-mangsa tipu mendapat balik hak mereka serta mendapat pembelaan.
Dalam konteks Malaysia, jika kita sebuah negara Islam dan kerajaan Islam, sememangnya menjadi tanggungjawab wajib sebagaimana wajibnya mereka melaksanakan Hudud, Qisas dan Takzir. Dalam konteks perlaksanaan moden, pejabat Hisbah ini sepatutnya wujud di semua lokasi perniagaan seperti di Bukit Bintang atau di premis-premis perniagaan besar seperti Low Yat jika dirasakan perlu. Gambaran jawatankuasa Hisbah ini sama seperti pegawai-pegawai penguatkuasa DBKL yang kita sentiasa terserempak di kawasan-kawasan KL. Cuma hari ini kerajaan pasang pegawai-pegawai penguatkuasa untuk pastikan rakyat bayar duit kerajaan; peniaga bayar cukai dan lessen, pelanggan bayar parking dan lain hak kerajaan ke atas rakyat, tetapi bukan untuk membela rakyat awam dan mangsa. Undang-undang hari ini kebanyakan lebih untuk membela dan melindungi syarikat-syarikat besar sahaja tetapi golongan marhain terus dan terus tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Kalau saya dan PAS diizinkan Allah dapat memerintah Malaysia, penubuhan pejabat-pejabat Hisbah di semua lokasi perniagaan utama adalah menjadi kewajipan kepada kami. Membela mangsa di dalam Islam bukan sahaja dalam kes-kes besar seperti kes pembunuhan, kes rompakan dan sebagainya, tetepi Islam membela dan memantau sehingga sekecil-kecil kes sehingga penipuan sepuluh dua puluh ringgit juga dibela dengan jawatankuasa Hisbah.
Hisbah ini berbeza dengan Hudud, Qisas dan Takzir terutamanya dari segi pembuktian dan cara keputusan dibuat. Hisbah bersifat segera yang straight forward berbanding dengan kes-kes besar yang memerlukan kepada perbicaraan detail dan sebagainya.
Dalam kes saya kena tipu di Low Yat sebagai contoh, jika ada Muhtasib di sekitar Bukit bintang atau dibanggunan Low Yat itu sendiri, saya boleh pergi mengadu dan tunjukkan resit dan barang. Pihak Muhtasib pula dengan jelas dapat melihat barang AP dijual dengan harga RM180, harga yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran yang dikenali sebagai Ghubnun Faahish. Oleh kerana kerja Hisbah ini adalah pelengkap kepada hukum muamalat Islam, maka Ghubnun Faahish (markup harga melampau) secara tidak jujur (tadlis dan taghrir) dianggap fasakh. Ini bermakna, pegawai Muhtasib berkuasa memutuskan terus keputusan bersalah atau tidak berdasarkan resit dan harga pasaran sekalipun tanpa 2 orang saksi dan perbicaraan sebagaimana kes-kes besar.
Sememangnya terdapat perbahasan di dalam Fiqh Islam, adakah pegawai Hisbah ini berkuasa mengarahkan pekedai yang menipu supaya tutup kedai dan premis perniagaan sebagai hukuman tambahan. Tetapi khilaf ini pada saya bukan khilaf hukum tetapi khilaf darisegi realiti perlaksanaan dan keperluan. Dalam konteks sekarang, jika dirasakan perlu justeru penipuan yang banyak, maka mungkin pegawai Muhtasib mempunyai kuasa untuk menutup sementara kedai yang terlibat dengan penipuan. Jika sudah berkurangan selepas itu, mungkin dikurangkan kuasa Muhtasib. Apapun ia melihat kepada keperluan dan ini konteks yang disebutkan ‘tindakan pemimpin adalah bergantung kepada maslahah’.
Saya yakin, jika undang-undang dan penguatkuasaan Hisbah ini berlaku, nescaya kes rusuhan di low yat tidak akan berlaku apabila semua mangsa tipu mendapat pembelaan sewajarnya.
Ringkasnya, undang-undang Islam yang dikenali sebagai Hisbah ini adalah pelengkap kepada undang-undang Hudud, Qisas dan Takzir. Hisbah tidak akan berjaya tanpa Hudud, Qisas dan Takzir justeru pucuk tidak akan datang melainkan mesti daripada akar dan batang yang kuat. Dengan kata lain, Hudud dan Qisas seumpama akar dan batang kepada perundangan Islam, manakala Takzir pula seumpama dahan dan ranting. Kesuburan ini dilengkapi dengan Hisbah yang seumpama pucuk dan bunga kepada pokok tersebut. Maka buahnya ialah keamanaan, keselamatan dan pembelaan kepada semua pihak. Ini negara yang kita impikan yang saya sentiasa sebut ‘ke arah rakyat Malaysia yang lebih bebas’.
Selepas memahami realiti ini, orang yang menyatakan “PAS sepatutnya tumpu kepada pemerkasaan ekonomi negara terlebih dahulu, kemudian baru bercakap tentang undang-undang Islam” sebenarnya mereka berfikir terbalik seumpama berpesan jangan makan ubat melainkan selepas sembuh.
“Kearah Rakyat Malaysia Yang lebih Bebas”
Sekian.
Nota: di kesempatan ini saya menyeru supaya tidak timbul rasis dan perkauman.
Share dan Like ke arah Rakyat Malaysia Yang Lebih Bebas:
https://www.facebook.com/pages/Zaharudin-Muhammad/312456128784829?ref=hl

Semalam kami bertugas di PICC untuk Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu sebagai LO kepada tetamu kehormat

Semalam kami bertugas di PICC untuk Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu sebagai LO kepada tetamu kehormat. Aku pula ditugaskan sekali lagi sebagai LO Perdana Menteri.
Sesampainya PM di PICC, beliau turun dari kereta terus ke Perdana Hall. Beliau sampai sedikit lambat ke majlis kerana ada urusan lebih penting untuk beliau selesaikan demi negara. Walaubagaimanapun, beliau masih dapat sampai dalam lingkungan waktu yang dijadualkan.
Jika dilihat pada gaya berjalannya dari kereta sepanjang laluan masuk ke dewan, kami menyangka PM mungkin akan pulang segera selepas habis majlis kerana kerana beliau berjalan cergas dan pantas serta dengan sedikit tergesa-gesa.
Pastinya beliau merasa ralat kerana merasakan telah membuatkan jemputan, peserta dan pelajar-pelajar di dalam dewan tertunggu-tunggu kehadirannya.
Selesai majlis, alhamdulillah Perdana Menteri sudi untuk menjamah sedikit kudapan yang disediakan untuk beliau dan Datin Seri.
Bila mendengar Datin Seri menyatakan bahawa Perdana Menteri belum makan malam, kami tahu rupanya dari petang hingga hampir 12 tengah malam, PM belum menjamah makanan langsung!
Bila secara berseloroh Datin Seri berkata pada PM, “You should not eat late at night”; Dato’ Seri membalas; “I should. Tadi I tak makan lagi;”
Pastinya kesibukan beliau bekerja menyebabkan beliau tidak sempat untuk makan malam sebelum ke majlis.
Beliau yang sesampainya tadi dengan tidak sempat bersalaman dengan tetamu dan peserta sepanjang laluannya masuk le dewan, kini berjalan dengan santai, menyantuni sesiapa jua yang menyapanya sepanjang laluan dari dewan ke tempat makan.
Sebagai LO Perdana Menteri aku faham benar akan cabaran yang satu ini. Ini kali keempat aku menjadi LO untuk PABM, kali ketiga sebagai LO PM.
Menjadi LO PM bukan sahaja untuk memastikan keperluan beliau terjaga atau laluannya tidak terhalanhg, tetapi juga terpaksa menghadapi ramai orang awam, pelajar-pelajar juga para pemidato dari pelbagai negara untuk bergambar dan berselfie dengan beliau.
Kemesraan dan kesanggupan beliau dan Datin Seri menyantuni setiap orang darinya menyebabkan perjalanan dari dewan menuju dewan makan sedikit lama walaupun jaraknya dekat sahaja.
Bayangkan dalam keadaan lapar PM masih lagi mampu untuk menguruskan setiap orang yang menyapanya, berhenti untuk bergambar selaim menegur sapa sesiapa yang diingininya.
UTK yang mengiringinya juga beberapa kali diberitahu, “Tak apa, tak apa, dia nak bergambar”. Namun bagi memastikan PM selesa dan tidak rasa terganggu, selain mengelakkan terlalu lama berhenti bergambar kami terpaksa memohon kepada awam di sepanjang laluan agar disegerakan bergambar, malah UTK terpaksa juga menghalang ramai lagi yang mahu bergambar bersama PM.
UTK pastinya dalam dilema juga kerana selain memastikan keselamatan PM, mereka juga perlu mengawal awam yang teruja mahu berada dekat, bersalam dan bergambar dengan PM. Lebih mencabar bila PM meminta untuk tidak terlalu berkeras dengan orang awam. Namun keselamatan PM pastinya nombor satu dan mereka menjalankan tugas dengan baik.
Sempat berbual dengan ‘otai’ dari Bahagian Istiadat, JPM En. Salleh; “PM kadang-kadang tegur juga yang beliau tak berapa suka kita halang-halang public especially students yang minta bergambar dengan beliau. Dengan student-student ni tak apalah, kita bagi can, janganlah keras sangat, PM request yang ini.”
Semua mereka nampak puas dan gembira bila dapat bergambar dengan Perdana Menteri, malah UTK pula terpaksa menghadkan tetamu yang ramai mahu bersalam dan mengambil gambar dengan PM.
Selain pelajar, peserta dan orang awam tempatan, ramai warga Arab dan Afrika yang bersungguh mahukan gambar kenangan bersama PM. Malah PM boleh lagi melayan mereka ini berbual seketika, bertanya khabar, bertanya asal dan urusan di Malaysia untuk apa. Ada yang beria benar sanggup menunggu lama untuk menyampaikam hajat memberi hadiah ole-ole untuk PM dari negaranya, sampai tak makan!
Kadang-kadang tertanya, bagaiamana PM mampu uruskan semua ini setiap masa, di setiap majlis di mana dan bila-bila sahaja. Lapar pun dia tolak tepi.
Menjadi PM, bukan kerja biasa dan semua boleh buat.
Aku geram dan cemburu juga nak bergambar dengan PM ni sebenarnya, tetapi kerana tugas, kena tunjuk muka serius sikitlah tahan perasaan.
InsyaAllah, kalau jumpa PM di luar tugas, lain kalilah (kot) ?