Usia kecil zaman dahulu, ——————————————-, #Peti Televisyen, Ketika usia sangat kecil saya sempat tinggal di rumah…

Usia kecil zaman dahulu
——————————————-
#Peti Televisyen
Ketika usia sangat kecil saya sempat tinggal di rumah kecil tiang tinggi bertangga tegak. Memang tinggi di bahagian bawah diletakkan buaian . Ada lesung kaki serta banyak peralatan kebun juga ada pangkin di bawah.
Di bahagian atas rumah cuma ada dua bilik iaitu bilik mak dan ayah serta bilik anak perempuan. Anak lelaki semua bergelimpangan tidur di ruang hadapan. Di bahagian atas juga dibina para buluh untuk tujuan mencuci dan menyiang. Ada beberapa tempayan air di atas para.
Pada masa itu air masyarakat hanya ada di beberapa kawasan . Kebanyakan kami masih menggunakan sungai untuk membasuh dan mandi. Di masa anak berenang di sungai , mak akan membasuh di para. Ikan memang mudah ketika itu pelbagai cara tangkapan boleh dilakukan. Pada ketika itu kampung masih belum menerima elektrik . Ada pelbagai cara mencerahkan rumah ada yang guna pelita cemeni, lampu gasolin, pelita kabaid dan sebagainya. Semua pun bercatu.
Ketika umur tadika kampung secara perlahan menerima bekalan elektrik. Ayah mula membina rumah baru berhadapan dengan rumah lama. Agak lama juga baru siap sepenuhnya. Walaupun belum siap penuh kami telah berpindah ke ibu rumah yang dibina. Secara perlahan semua bahagian disiapkan. Semua anak ayah ada bakti pada rumah yang dibina mahu lelaki ataupun perempuan semua turut hulur tangan.
Di awal bekalan elektrik mula diterima tidak mempunyai voltan tinggi. Setiap rumah hanya ada beberapa lampu menerangi. Sering juga bekalan terputus. Pada masa itu hanya ada dua rumah yang mempuyai peti Televisyen. Memang penuh dengan penduduk kampung . Satu tempat itu percuma sahaja tapi ruang kecil. Bagi yang ingin selesa mereka akan ke rumah yang lain yang berbayar. Pada masa itu sering ada tayangan gambar melayu pada layar putih di tengah padang bersebelahan rumah saya.
Sebagai ketua kampung rumah kami sentiasa dipenuhi orang kampung. Pelbagai isu dan permasalahan diselesaikan di rumah kami. Dari cerita ayam itik hinggalah ke cerita suami isteri perlu diselesaikan. Memang ayah buat rumah yang punyai ruang tamu agak besar. Siang malam orang datang ada yang sampai tertidur di rumah.
Ayah membeli sebuah televisyen (seperti di gambar) Secondhand sahaja tetapi antara terawal punyai TV di kampung. Rumah jadi lebih meriah sentiasa penuh dengan orang. Tua muda, anak-anak semua pun ada. Ada dua chanel sahaja ketika itu tetapi boleh bergaduh juga. Tambahan jika ada rancangan gusti.
Rumah kami semakin meriah jika dahulu hanya dipenuhi penduduk atas urusan tetapi semakin penuh walaupun mereka yang tiada urusan. Ada yang telah jadi tetamu tetap. Mak sentiasa senyum dengan layanan . Ada sahaja juadah dan air dihidangkan.
Kami adik beradik ramai. Selepas maghrib kami semua akan setia mengaji dengan ayah. Tetamu hanya boleh datang selepas waktu itu. Memang selalu masa masih sedang mengaji ada yang dah hulur kepala di pintu nak tengok TV . Memang tak sabar. Selesai waktu mengaji baru ayah benarkan TV dibuka maka menderulah orang masuk sehinggalah tamat siaran. Ada yang belum tamat siaran mereka yang tamat dahulu (tertidur).
Ada macam ragam orang kampung menonton TV . Jika filem melayu ada yang sampai boleh hafal setiap dialog. Jika filem pergaduhan atau perang maka akan peranglah diruang tamu tersebut. Jika ada filem yang sedikit sensored ibubapa akan menutup mata anak-anak mereka. Jika ada rancangan gusti boleh lihat ragam peminat beraksi atau sebagai pengulas. Haha memang seronok bila teringat.
Rumah kami sering ada aktiviti. Sering juga ada kenduri. Ada masa belajar mengaji ada masa marhaban dan burdah. Dalam masa aktiviti tersebut habis program baru orang boleh tonton televisyen. Jika ada tayangan bagus atau rancangan gusti maka kenduri perlu dicepatkan. Tengah makan pun kena pasang program TV.
Pada masa itu siaran bukan cantik sangat selalu sahaja ada gangguan . Jika waktu gangguan akan nampak keresahan jelas pada tetamu. Apa yang berlaku mereka tetap setia menunggu siaran elok.Adakala sampai habis siaran tetap juga tidak elok-elok. Memang mencabar kesabaran haha. Semua ini pada waktu malam sahaja. Siang kami tidak dibenarkan menonton. Situasi sebegini agak lama juga hinggalah ramai telah punyai Televisyen sendiri dan bekalan elektrik semakin stabil.
#lohonghitam
#senidanstrategi